ARTIKEL 1 - 5 CARA UNTUK MEMENANGI PERSAINGAN DENGAN LEBIH EFEKTIF
Lebih menggerunkan pula bila melihat penerimaan orang ramai terhadap produk pesaing lebih hebat dan ternyata mempunyai nama yang sungguh dikenali di pasaran. Terdiam seketika memikirkannya kerana mereka bukanlah calang-calang pesaing yang mampu ditewaskan dengan mudah.
Usah panik dan rasa berputus asa dengan apa yang telah berlaku. Ini kerana ianya merupakan perkara yang biasa dalam pasaran. Tiada satu produk pun yang akan berkekalan di atas sampai ke hari kiamat. Dalam perniagaan, turun dan naik sesuatu jualan atau produk merupakan perkara yang sangat normal.
Apa yang anda perlu lakukan ialah teruskan usaha anda dan jangan sama sekali menyerah kepada takdir semata-mata serta usah mudah patah semangat akibat terlalu menghormati pesaing. Berikut merupakan antara 5 tindakan yang boleh anda lakukan untuk bersaing dengan lebih hebat di pasaran, iaitu:
(1) Perang Harga Bukanlah Segalanya
Tak perlu mengambil pusing sangat jika andai kata harga yang anda tawarkan di pasaran agak tinggi jika dibandingkan dengan harga pesaing anda. Ini kerana bukan semua bakal pembeli atau pelanggan akan melihat harga yang ditawarkan. Apa yang penting adalah bagaimana kita memberikan penerangan secara jelas dan tepat dengan menawarkan apakah perkhidmatan nilai tambah kepada produk yang ditawarkan. Ini wajib kerana kebiasaannya bakal pembeli atau pelanggan menerimanya bukan disebabkan oleh produk tetapi hanya kerana cara kita menjualnya.
(2) Kenal Pasti Pelanggan & Bakal Pembeli
Jangan menyasarkan secara membuta mengikut nafsu, sasarkan jualan produk anda kepada bakal pembeli atau pelanggan yang sepatutnya sahaja. Anda tidak boleh menjual ubat kuruskan badan kepada orang yang kurus, jadi anda perlu kenali siapakah sebenarnya bakal pembeli produk anda dan ketahui kemahuan mereka.
Mungkin ada satu-satu masa mereka seolah-olah menolak produk jualan anda tetapi percayalah bahawa penolakan itu sebenarnya bukanlah pengakhiran kerana kalau kita cerdik dan bijak serta pandai memberikan sebab-sebab relevan sudah pasti bakal pembeli atau pelanggan pada akhirnya akan menerima juga apa yang kita tawarkan.
(3) Ketahui Sepenuhnya Kelebihan & Kekuatan Produk
Pengetahuan berkenaan dengan produk anda serta pasaran merupakan aset penting yang menentukan kejayaan anda. Tanpa pengetahuan serta ilmu, anda tidak akan ke mana-mana. Usah risaukan pesaing dahulu, risaukan dulu kewibawaan kita adakah kita sudah memiliki pengetahuan yang jelas dan lengkap berkenaan produk dan pasaran atau tidak.
Ini penting kerana jika bakal pembeli bertanya maklumat lanjut berkenaan produk, kita mampu menjawabnya dengan penuh yakin dan keyakinan inilah yang akan membuatkan mereka membeli. Kajilah ilmu serta pengetahuan sedalam-dalamnya berkenaan dengan produk anda bagi mengelakkan kita akan dipandang rendah serta kurang diyakini oleh bakal pembeli.
(4) Kaji Kelemahan & Kekurangan Pesaing Anda
Ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa persaingan di pasaran ini ibarat seperti peperangan dan pesaing ibarat pihak musuh yang perlu dikalahkan. Semua ini KARUT!
Anda perlu bersahabat dengan pesaing anda dan bukannya bermusuh dengan mereka. Kita bukan sahaja dapat membina networking bersama mereka tetapi kita juga boleh mengetahui segalanya berkenaan produk mereka termasuklah kelebihan dan kekurangan produk mereka. Anda tidak akan dapat apa-apa jika bermusuh dengan mereka.
(5) Percaya & Yakin Sepenuhnya Pada Produk Anda
Jika kita mahu menjual, kita kena yakin dengan apa yang kita tawarkan.Kita bukannya menjual produk-produk keperluan asas seperti gula, garam, tepung dan sebagainya yang semuanya telah diketahui tanpa perlu penerangan yang mendalam.
Kerana itu kita kena sangat yakin tentang segala keupayaan dan kelebihan yang ada pada produk yang kita mahu tawarkan ini. Jika kita yakin, sudah pasti keyakinan kita tersebut boleh dipindahkan pula kepada bakal pembeli atau pelanggan tanpa ragu-ragu.
Kesimpulannya, jika anda menghadapi persaingan dalam perniagaan anda, ingatlah bahawa usah mudah mengalah dan tidak yakin dengan keupayaan diri serta produk anda. Hilangkan semua unsur-unsur negatif yang menghalang kejayaan anda dan berubahlah menjadi lebih yakin serta lebih berwibawa.
Ingatlah bahawa tiada satu perkara pun yang mudah dan senang melainkan kena tempuh juga melalui dengan segala ketabahan, kecekalan, kesabaran dan ketenangan. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang tapi jadikanlah diri kita terpengaruh dengan hasil kejayaan kita menjual produk yang ditawarkan. Sesungguhnya itulah pendorong dan pencetus semangat kita untuk bertindak ke arah mencari kejayaan yang hakiki.
ARTIKEL 2 - 5 TIPS BISNES GAYA ALBERT EINSTEIN
Mungkin ada di antara anda yang sering melihat rumusan Fizik E= mc². Ya, rumus ini adalah penemuan terbesar seorang saintis abad ke-20, Albert Einstein. Ahli Fizik kelahiran Jerman tersebut merupakan seorang saintis yang paling dikenali masyarakat dunia. Malah Einstein sering dikaitkan dengan perkataan pintar atau genius, dan seringkali kita men dengar ungkapan sehari-hari “otak einstein” yang merujuk seorang siswa yang berfikiran cerdas.
Meskipun Albert Einstein lebih dikenali sebagai seorang saintis yang berbakat luar biasa, namun beliau juga mempunyai kepakaran dalam banyak bidang dan mampu memberi inspirasi dari berbagai teori atau pernyataan yang pernah beliau lontarkan, termasuk memberi inspirasi kepada para usahawan, khususnya yang berfokus pada perniagaan.
Berikut adalah lima tips perniagaan jualan (sales) yang terinspirasi dari Albert Einstein:
1. Gunakan Rasa Ingin Tahu Sebagai Tenaga Perniagaan Anda
Ramai yang menganggap bahawa Albert Einstein adalah seorang saintis yang dilahirkan dengan bakat besar. Namun dengan rendah hati Albert Einstein menyatakan bahawa dirinya berjaya menghasilkan teori yang bijak bukan kerana bakat yang ada di dalam dirinya, tetapi lebih atas rasa ingin tahu dan hasrat yang besar untuk mempelajari hal-hal yang belum difahami.
Hal tersebut tidak jauh berbeza dalam menjayakan perniagaan atau pekerjaan sebagai ahli jualan (sales). Ramai yang mempunyai persepsi bahawa orang yang berjaya dalam bidang penjualan merupakan orang-orang yang dikurniakan bakat sejak lahir.
Padahal ilmu bisnis penjualan boleh dipelajari dan dikembangkan dari pengamatan, kajian sederhana, dan pengalaman langsung. Jadi dengan memiliki rasa ingin tahu (passion) yang besar dalam strategi penjualan, maka kejayaan dalam penjualan pasti dapat dicapai.
2. Ketekunan dan Fokus
Ketekunan merupakan salah satu kunci penting dalam mencapai kejayaan, termasuk dalam jualan. Albert Einstein adalah seorang yang rajin dan fokus untuk mencari penyelesaian sesuatu masalah (problem) yang sedang dihadapi.
Beliau tidak membiarkan sesuatu masalah berlarutan tanpa ada jawapan yang pasti, kemudian beralih kepada masalah yang lain. Hal seperti itu juga mesti anda praktikkan dalam penjualan. Tekunlah dan fokus dalam menghadapi cabaran penjualan yang anda hadapi.
3. Jangan Takut Melakukan Kesilapan
Meskipun Albert Einstein adalah orang cerdas dalam ilmu sains, bukan bermaksud beliau tidak pernah melakukan kesilapan dalam teori dan prinsipnya. Satu kesalahan yang paling dikesali seumur hidupnya adalah membantu Amerika menciptakan bom nuklear yang telah mengorbankan ratusan ribu penduduk Jepun.
Ilmuan yang lahir tahun 1879 tersebut mengatakan, jangan takut melakukan kesalahan asalkan anda mahu memperbaikinya. Dalam dunia bisnes penjualan, kesilapan merupakan cara kita belajar untuk menemukan formula dan strategi perniagaan yang lebih baik.
4. Ciptakan Nilai Yang Berkekalan
Albert Einstein adalah orang tidak terdorong meraih kejayaan dalam pandangan yang konvensional (biasa). Ahli Fizik yang pernah berkahwin dua kali tersebut lebih beranggapan bahawa kejayaan adalah mencipta sesuatu yang berfaedah kepada orang ramai dan yakin bahawa itu adalah sesuatu yang bernilai.
Dalam bisnes penjualan, jangan hanya menilai keuntungan yang dikumpulkan, tetapi bagaimana mempengaruhi pelanggan supaya menganggap apa yang dibelinya adalah benar-benar berguna. Dalam memilih bisnes penjualan suatu produk, yakinkan bahawa apa yang anda usahakan memiliki prospek yang bagus dalam jangkamasa panjang, serta visi dan misi perniagaan anda kekal bernilai (value).
5. Jika Suatu Cara Tidak Berjaya, Ubahlah!
Albert Einstein merupakan salah satu ilmuan yang mendukung pepatah “Adalah satu kegilaan apabila melakukan hal yang sama secara berulang-ulang dengan mengharapkan hasil yang berbeza”. Bila cara yang selalu anda lakukan tidak juga mendapatkan hasil yang diharapkan, maka lakukan perubahan.
Dalam berniaga, anda harus melakukan eksperimen dan berinovasi untuk menemukan cara dan jalan terbaik dalam meraih hasil yang paling optimal.
ARTIKEL 3 - CARA MEMULAKAN
PERNIAGAAN TUDUNG
Seiring dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, rakyat Malaysia terutamanya suri-rumah tangga perlu mencari jalan untuk untuk menjana pendapatan sampingan bagi menampung keperluan hidup terutamanya apabila berhadapan dengan musim-musim perayaan. Persoalannya sekarang adalah; Apa yang perlu dilakukan untuk menjana pendapatan tersebut? Jawapan yang paling mudah adalah dengan memulakan perniagaan anda sendiri dari rumah. Persoalan seterusnya yang mungkin timbul adalah; Perniagaan apa yang sesuai?
Mendatangkan keuntungan atau tidak? Untuk menjawab kesemua persoalan itu, mari kita lihat pula ‘trend’ semasa masyarakat di Malaysia. Trend terkini di Malaysia adalah perniagaan online. Semua barang kini boleh kita dapati dengan mudah melalui online. Bukan sahaja menjimatkan masa, malah banyak kos yang boleh dijimatkan jika membeli-belah secara online.
Berikutan trend semasa inilah, ramai individu tekad untuk mencuba nasib dengan memulakan perniagaan online mereka sendiri. Perniagaan online yang paling ‘trending’ pada masa kini tentulah perniagaan yang berkaitan dengan wanita iaitu tudung atau shawl (selendang)!
Mengapa perniagaan tudung/shawl?
Trend menjual tudung/shawl secara online semakin meningkat naik dan mendapat permintaan yang sangat tinggi di kalangan wanita terutamanya remaja. Jika kita melakukan carian di Google, terdapat banyak perniagaan online yang menjual pelbagai jenis tudung/shawl dengan harga yang berpatutan. Hasil daripada carian ini membuktikan bahawa permintaan terhadap tudung/shawl secara online adalah sangat tinggi dan anda sepatutnya mengambil peluang keemasan ini untuk menjana pendapatan sampingan mulai dari sekarang. Jangan risau tentang saingan sedia ada yang terdapat di pasaran, kerana tudung/shawl merupakan sesuatu keperluan yang dekat di hati wanita berhijab.
Wanita tidak akan berhenti membeli tudung/shawl walaupun mereka sebenarnya sudah mempunyai berpuluh atau beratus helai tudung kerana setiap helai tudung itu mempunyai nilainya yang tersendiri dan sesuai dipadankan untuk pakaian yang tertentu sahaja. Jadi tidak hairanlah jika wanita mempunyai pelbagai jenis tudung mengikut saiz, warna dan kualiti yang berbeza-beza kerana tarikan tudung itu sendiri yang membuatkan wanita untuk terus membeli. Jika dilihat dari dasarnya, memang nampak seperti satu pembaziran, tapi jika dilihat dari sudut kita sebagai penjual, niche ini sangat bagus dan membantu kerana kita bakal mempunyai sasaran pelanggan yang tidak putus-putus!
Bagaimana nak bermula?
Perkara paling penting untuk memulakan apa sahaja perkara tentulah minat dan kesungguhan. Tanpa minat, mungkin anda boleh lupakan sahaja impian untuk memiliki perniagaan sendiri kerana apabila kita bertemu dengan kegagalan, hanya individu yang mempunyai minat yang mendalam sahaja akan bangkit semula untuk mencipta kejayaan.
Perkara lain yang perlu diambil kira tentulah produk yang ingin dijual. Persoalan yang biasa timbul tentulah sama ada untuk membeli secara borong dan jual semula dengan harga yang murah atau menghasilkan sendiri tudung tersebut. Untuk peringkat permulaan, mungkin kita boleh menghasilkan sendiri kerana kekangan modal yang kecil. Tetapi, masalah akan mula timbul jika kita tidak mempunyai kemahiran menjahit. Oleh itu, cara yang terbaik adalah dengan memilih dan membeli sendiri kain yang kita ingin jadikan tudung dan menghantarnya kepada tukang jahit. Kita boleh memotong sendiri kain tersebut mengikut rekaan yang kita kehendaki dan menghantar kepada tukang jahit untuk dijahit tepi. Kos yang terlibat juga adalah sedikit berbanding jika kita membeli terus secara borong.
Bagaimana nak mengiklankan produk?
Setelah mempunyai produk, langkah seterusnya yang perlu kita fikirkan adalah cara untuk mengiklankan produk tersebut. Disebabkan kita menjalankan perniagaan tudung/shawl secara online, terdapat beberapa medium sesuai yang boleh kita gunakan untuk mengiklankan produk.
Facebook- Jika selama ini anda menggunakan Facebook hanya untuk berkongsi status atau gambar terbaru, apa kata kali ini anda gunakan Facebook untuk membuat promosi tentang produk tudung/shawl yang anda ingin jual. Hal ini lebih mudah kerana anda sudah mempunyai rakan yang sedia ada di Facebook dan tidak perlu susah-susah lagi untuk mencari pelanggan.
Instagram/Twitter- Sama seperti Facebook, gunakan media sosial ini untuk mempromosikan perniagaan anda. Tapi, harus diingat, jangan melakukan promosi secara berlebihan seperti ‘tag’ atau komen tentang perniagaan anda di gambar/page yang tidak sepatutnya hingga mengganggu privasi rakan-rakan anda.
Iklan di web pengiklanan- Anda boleh mengiklankan perniagaan anda di website iklan sedia ada seperti mudah.my atau majalah.com. Bukan sahaja tidak melibatkan kos, malah jaringan pelanggan juga lebih luas dan ini merupakan peluang terbaik untuk memulakan perniagaan anda!
Blog- Jika anda menggunakan blog untuk mempromosikan produk tudung/shawl, anda mempunyai kawalan terhadap blog anda sendiri. Namun, anda perlu memastikan yang blog anda menarik dan mempunyai nama yang senang untuk diingat. Kemudian, jangan lupa untuk sertakan ‘link’ ke blog anda di semua media sosial yang anda ada untuk tujuan promosi. Pastinya sangat membantu!
Senarai perniagaan tudung/shawl online popular di pasaran
Radiusite- Bermula dengan perniagaan secara online, kini Radiusite meluaskan empayarnya dengan memiliki butiknya sendiri di Bangi. Rekaan tudungnya bukan sahaja segar dan unik, malah dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Kini Radiusite melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menjadi penaja untuk beberapa artis dan drama tempatan.
Al-Humaira Contemporary- Bukan sahaja menjual pelbagai jenis tudung/shawl daripada pelbagai fabric, syarikat ini kini tampil dengan koleksi jubah menawan sesuai untuk hijabista yang gemarkan rekaan yang elegan dan eksklusif. Jika malas mahu bersesak-sesak di butik, pelanggan boleh memilih untuk membeli secara online sahaja di website syarikat mereka. Layanan yang bakal anda terima tentunya tidak mengecewakan kerana mereka bukan sahaja menawarkan koleksi yang menarik malah memberikan servis yang terbaik kepada para pelanggannya.
Tip mudah
Bagi menarik perhatian pelanggan, anda perlu ‘upload’ gambar yang cantik dan menarik beserta dengan maklumat yang berkaitan tentang tudung/shawl anda. Hal ini akan membantu pelanggan untuk terus membuat pembelian. Jika tiada maklumat yang disertakan bersama gambar yang dimuat naik, pelanggan akan menghadapi masalah dalam membuat pilihan dan seterusnya membantutkan niat mereka untuk membeli tudung/shawl anda.
ARTIKEL 4 - PERNIAGAAN INTERNET DI
MALAYSIA
Bidang perniagaan internet bukan sesuatu yang baru dan ianya semakin berkembang pesat di Malaysia.
Rata-rata perniagaan menggunakan internet sebagai salah satu platform untuk memperkenalkan sesuatu produk atau perkhidmatan dari segi penjenamaan, promosi dan jana pendapatan.
Hari ini setiap perniagaan, usahawan atau blogger memerlukan laman web. Jika anda seorang blogger atau pemilik perniagaan, kenalah pastikan bahawa anda mempunyai kepakaran dan minat dalam bidang yang anda pilih.
Disini saya ingin berkongsi beberapa asas, idea, tips dan informasi mengenai topik perniagaan internet ini.
Asas Dalam Perniagaan Internet
Dalam perniagaan internet banyak faktor yang kita perlukan untuk membina sebuah website jualan yang baik.
- Pertama, tentunya kita memerlukan hosting, ianya perlu untuk membina sesebuah blog perniagaan. Pilihlah web hosting yang baik walaupun mungkin kosnya tinggi tetapi hasilnya memuaskan berbanding memilih yang murah tetapi mempunyai masalah. Kena berani melabur lebih untuk mendapatkan yang terbaik.
- Pemilihan nama domain juga penting, seelok-eloknya pilih nama domain anda dengan kata kunci yang berkaitan dengan niche perniagaan anda.
- Sebaik-baiknya gunakan domain dan hosting berbayar supaya lebih mendapat kepercayaan pengunjung yang memasuki laman web atau blog anda. Sekaligus proses penjenamaan perniagaan internet anda dapat dilakukan dengan lebih mudah.
- Menghasilkan kandungan yang berkualiti, unik, menarik, serta tajuk artikel yang baik dapat memainkan peranan yang besar dalam perniagaan secara online dimana ianya adalah untuk menarik perhatian pembeli atau pengunjung.
- Memilih kata kunci yang paling berkuasa untuk artikel anda juga sangat penting. Kata kunci yang baik boleh membantu artikel anda berada di ranking yang terbaik di enjin carian Google. Anda boleh menggunakan Google Adwords Keyword Tooluntuk memilih kata kunci untuk artikel anda.
- Melalui Google Adwords Keyword Tool ini juga, anda boleh membuat kajian permintaan terhadap perniagaan yang anda lakukan.
- Gunakan imej yang relevan dalam artikel anda. Gambar juga boleh memberitahu lebih banyak daripada kandungan teks. Pemilihan theme juga penting, pilih reka bentuk yang menarik dan mudah untuk dikendali.
Search Engine Optimization (SEO)
Asas SEO memang perlu jika anda ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan internet. Lebih-lebib lagi jika anda ingin meningkatkan jualan anda dan meningkatkan keuntungan perniagaan di internet anda.
SEO boleh membantu anda untuk menarik trafik yang besar ke laman web anda berdasarkan kata kunci atau jenama yang anda gunakan untuk perniagaan anda.
Seperti yang anda tahu, Search Engine Optimization (SEO) adalah kunci untuk kejayaan mana-mana perniagaan secara online.
Bagaimana Memulakan Perniagaan Internet
Asas penting ini saya gunakan ketika mula membina perniagaan sendiri. Saya alih dan gabungkan ke bidang perniagaan internet pada masa kini.
Dalam apa jenis perniagaan yang kita lakukan, saya boleh katakan bahawa asasnya tetap sama. Jadi, bagaimana untuk memulakan perniagaan, antaranya…
Pelan Perniagaan
Titik permulaan bagi apa-apapun jenis perniagaan yang baru adalah dengan menyediakan satu pelan perniagaan. Anda perlu tahu sasaran anda, tahu siapa saingan anda, cara menarik dana, mendapatkan sumber yang baik, membina kesetiaan pengguna dan rakan kongsi yang strategik. Penyediaan dan penyelidikan adalah kunci perniagaan.
Objektif pelan perniagaan adalah untuk memberitahu tentang sesuatu perniagaan dengan cara yang mudah tetapi menarik, yang mana ianya boleh menarik minat pelabur atau prospek untuk berurusan dengan kita dan mengetahui lebih lanjut mengenai saranan perniagaan yang kita lakukan. Ia perlulah ringkas dan mudah dicapai.
Pelaburan Dan Dana
Setiap perniagaan samaada besar atau kecil memerlukan modal pelaburan. Tiada istilah “Duit Turun Dari Langit”, analisis aliran tunai adalah penting. Terdapat banyak pilihan dana atau modal pinjaman yang tersedia untuk usahawan.
Laman Web Anda
Jika anda membina laman web anda sendiri untuk jalankan perniagaan di internet, dapatkan cadangan atau pendapat daripada rakan-rakan dan orang yang berpengalaman.
Pastikan anda membina laman web yang baik, bersih dan mudah dikendalikan oleh pengunjung supaya pengunjung berasa selesa untuk berada lebih lama di laman web anda.
Pelawat yang masuk akan membeli daripada anda jika mereka percaya dengan laman web yang berkualiti dan mudah mencari apa yang mereka mahukan.
Pastikan anda sentiasa mengemaskini kandungan laman web anda. Ianya penting untuk berjaya dan bertahan dalam masa jangka panjang.
Strategi Pemasaran Perniagaan Internet
Ramai peniaga di internet gagal dari segi pemasaran. Terlalu ramai yang gagal membangunkan produk atau perkhidmatan mereka, semata-mata berharap dengan laman web. Promosi atau iklankan laman web anda sendiri dan cari cara bagaimana pelanggan berpotensi mencari anda adalah satu kaedah yang perlu anda lakukan.
Laman web seperti Google AdWords boleh menjadi cara yang berkesan untuk
pengiklanan berbayar. Cara ini beroperasi pada asas “membayar per klik”, jadi anda hanya membayar apabila seseorang klik ke laman web anda.
Kaedah promosi laman web secara percuma juga banyak yang boleh anda lakukan. Anda boleh menggunakan medium social media seperti Facebook, Twitter, dan macam-macam lagi social media yang ada.
SEO juga antara kaedah yang harus anda pelajari kerana ianya cukup efektif dalam mempromosikan laman web bisnes internet anda secara percuma.
Tarikan Pelanggan
Laman web harus mudah dan cepat untuk dikendalikan supaya dapat memenuhi kehendak pelanggan atau pengguna dan tidak berasa kecewa sekaligus meninggalkan laman web tanpa membuat apa-apa pembelian.
Keselamatan juga harus menjadi keutamaan dan pelanggan yang berpotensi harus yakin butiran mereka akan disimpan dengan selamat. Sentiasa memberi tindak balas terhadap apa yang mereka katakan terhadap produk atau perkhidmatan yang anda berikan.
ARTIKEL 5 - 7 TIPS MENJADI USAHAWAN MUSLIM CEMERLANG
Melihat senario ekonomi negara kita Malaysia yang kebanyakannya di monopoli oleh peniagaan bukan Islam sedangkan jumlah penduduknya secara majoritinya adalah muslim. Untuk mendapatkan bekalan khususnya makanan dan bahan penyediaan makanan yang halal memang sudah dirasakan kesukarannya sejak dahulu lagi, walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memantau kebersihan dan jaminan halal ini namun semuanya makin belum sepenuhnya dapat di banteras. Masih terdapat ramai pengusaha dan peniaga yang lalai dan mengambil ringan perkara ini. Namun apa yang ralatnya ialah perniagaan makanan dan bekalan mentah adalah dijalankan dan diusahakan oleh orang bukan Islam yang sudah tentunya tidak terlalu mementingkan halal dan kebersihan mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Islam sehinggakan inti kacang yang digunakan untuk membuat roti goreng itu pun didapatkan daripada pengusaha cina yang bukan Islam. Di mana menghilangnya peniaga dan pengusaha muslim? Adakah mungkin faktor pengusaha muslim ini sukar untuk hidup dan maju dalam bidang usahawan kerana tiada galakan dan sambutan daripada pengguna Islam yang kurang menyokong? Ataupun mungkinkah juga kerana saingan daripada peniaga bangsa lain yang terlalu sengit sehinggakan peniaga Islam ini tidak mampu bertahan lama lalu lingkup tanpa meninggalkan walau hanya debu pun? Namun apa yang kita perhatikan adalah antara punca utama usahawan dan peniaga muslim kurang maju dalam perniagaan adalah kerana saingan dengan bangsa lain yang terlalu hebat, namun sebenarnya ia masih boleh diatasi sekiranya perniagaan itu dijalankan menurut panduan yang telah digariskan dalam Islam. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada seluruh usahawan dan peniaga Islam yang ingin maju dan mengorak langkah dengan jayanya dalam perniagaan dan perusahaan.
1) Keuntungan bukanlah menjadi matlamat utama.
Jadikanlah matlamat utama berniaga adalah untuk mencapai dan mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sekiranya berniaga dengan niat untuk mendapat keuntungan sahaja kita akan mudah terpesong dan melanggar prinsip perniagaan dalam Islam. Perniagaan yang diberkati adalah perniagaan yang dijalankan secara jujur, telus dan menjadikan pelanggan itu seperti saudara sendiri.
2) Jujur dan Telus
Usahawan yang jujur akan mudah mendapat tempat di hati pembeli dan pelanggan. Justeru, hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga akan terbina sekiranya tiada unsur-unsur mengambil kesempatan dan mengambil untung yang melampaui batas ke atas pelanggan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda bahawa akan di masukkan peniaga yang jujur dan telus itu ke dalam syurga bersama rasul-rasul Allah dan mereka yang beriman.
3) Terbuka dengan kritikan
Usahawan yang ingin berjaya tidak pernah takut dan memandang negatif ke atas setiap kritikan yang diberi oleh sesiapa sahaja terhadapnya mahupun produknya. Walaupun kenyataannya kritikan itu sesuatu yang amat pahit untuk ditelan namun ianya perlu dilihat daripada sudut pandangan yang positif agar dapat bertindakbalas dengannya dan memperbaiki keadaan. Sikap sebeginilah yang menujukkan anda seorang yang berani dalam melakukan perubahan dan pembaharuan demi memenuhi keperluan pengguna.
4) Utamakan kebersihan
Kebersihan dalam penghasilan produk pemakanan adalah amat dituntut di dalam Islam. Menjaga kebersihan bukan sahaja mengelakkan daripada mendatangkan kemudharatan tetapi menghadirkan perasaan selesa kepada pengguna itu sendiri. Apabila timbulnya perasaan selesa tersebut, hati pelanggan akan mudah terikat dengan produk yang dihasilkan dan juga perkhidmatan yang ditawarkan.
5) Mempunyai impian dan matlamat yang tinggi
Walau dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlulalah bercita-cita tinggi termasuklah juga dalam bidang usahawan ini. Usahlah takut untuk mencipta dan berimpian yang besar jika kita punya kemampuan dan keupayaan untuk mencapainya. Sebagai contohnya anda bermula dengan perniagaan warung yang kecil dan seterusnya mempunyai restoran yang sederhana besar, kemudian ingin membuka beberapa rangkaian di seluruh daerah dan seterusnya negeri. Bukan susah untuk merancang, tetapi apa yang sukarnya ialah untuk melaksanakannya., namun anda masih punya pilihan samada untuk membiarkan sahaja impian itu berkubur kerana semangat anda yang lemah atau meneruskan dan menjadikannya satu kenyataan. Segala keputusan dan hasil adalah berada di tangan anda, namun yang penting jangan lupa untuk memanjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
6) Bekerjasama dengan saingan dalam pasaran yang sama
Mentaliti masyarakat melayu yang suka dengki, hasad dan ingin untung seorang ini haruslah di kikis dan dibuang terus. Kalau bukan kerana sikap ini mungkin tidak akan ada peniaga yang dibomohkan dan disantaukan oleh orang-orang tertentu yang tidak senang dengan kejayaan seseorang itu. Kita boleh mengambil contoh peniaga bukan Islam seperti bangsa cina contohnya. Mereka benar-benar tolong menolong sesama mereka dalam perniagaan. Seperti pengalaman seorang pelajar ini yang ingin membeli telefon bimbit di sebuah kedai di ibu kota, namun model yang diinginkan tiada di kedai tersebut, tetapi peniaga cina ini tidak membiarkan pelanggannya itu berlalu begitu sahaja sebaliknya membawanya ke kedai yang berhampiran untuk membantunya membuat pilihan di sana. Perkhidmatan ini sangat memuaskan hati pelajar tersebut. Bagaimanakah peniaga cina tersebut boleh melakukan sebegitu sedangkan dia tidak mendapat sebarang untung pun di situ, hebat sungguh cara berbisnes bangsa cina ini.
Perbuatan jatuh- menjatuhkan sesama peniaga juga tidak haruslah berlaku dalam perniagaan Islam, sebaliknya haruslah bergandingan memajukannya. Menubuhkan persatuan peniaga juga boleh dipertimbangkan sebagai medan perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam perniagaan. Melaluinya juga para peniaga boleh bertukar-tukar pendapat dan fikiran dan juga pengalaman untuk mengembangkan lagi perniagaan.
7) Sesekali tidak menjual barangan haram
Ada sebilangan peniaga yang tidak menganggap penjualan barangan yang haram ini sebagai satu perkara yang harus dijauhi. Barangan yang haram ini bukanlah sahaja seperti yang kita maklum iaitu arak, daging babi atau yang bersangkutan dengannya tetapi barangan curi, barangan yang boleh memudaratkan seperti dadah dan sebagainya, barangan yang salah di sisi undang-undang seperti penjualan senjata api dan daging binatang liar tanpa lesen yang sah juga dikategorikan sebagai barangan haram. Perniagaan dalam Islam ini haruslah barangan dan perniagaan yang tidak melibatkan barang yang mutashabihat( ragu) daripada segi kandungan dan pembuatannya. Islam terlalu luas skopnya namun kenapa masih ada di antara kita yang masih ingin melibatkan dalam perkara syubhah begini.
Usahawan muslim perlulah mengambil langkah yang lebih tangkas dan cekap dalam memajukan bisnes yang melibatkan penghasilan makanan bagi umat Islam ini. Kandungan dan penjualan makanan umat Islam kini semakin tidak diambil peduli dan dipandang ringan oleh sesetengah pihak berwajib. Pengguna juga kurang mengambil berat apa yang dimakan mereka, tidak kira samaada makanan itu halal ataupun tidak, apa yang penting bagi mereka adalah sedap. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan soal pemakanan ini sebab ia akan menjadi darah daging kita. Bantulah usahawan muslim untuk terus hidup dan maju dalam perusahaan mereka.